KUCHING, 28 Julai: Syarikat telekomunikasi U Mobile bekerjasama dengan Sarawak Digital Economy Berhad (SDEC) dalam projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication 600 (SMART600) yang diterajui kerajaan Sarawak.
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian berkata melalui projek SMART600, U Mobile merupakan hos teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) 4G pada menara SMART yang membolehkan operator menyediakan perkhidmatan 4G.
Usaha tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan semua penduduk di Sarawak terutama mereka yang berada di kawasan pedalaman.
“Kita bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui projek SMART600 iaitu kerjasama antara semua syarikat telekomunikasi.
“Semua syarikat telekomunikasi bekerjasama dengan apa yang kita panggil perkongsian rangkaian untuk menara 4G terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita semasa perasmian U Mobile Store di Vivacity Megamall di sini, semalam.
Antara syarikat telekomunikasi lain yang terlibat dengan kerjasama SDEC ialah CelcomDigi Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.
Projek SMART600 merupakan inisiatif dalam usaha membantu Sarawak bergerak ke hadapan dan memastikan rangkaian tersebut memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak.
Sehingga kini, sebanyak 512 menara siap dibina secara fizikal dan 308 menara sudah on air manakala 247 menara sudah menggunakan perkhidmatan MOCN di seluruh Sarawak. – TVS