KUCHING, 27 Julai: Dengar secara keseluruhan dan fahami maksud sebenar Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Itu nasihat Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) di negeri ini susulan laporan berita yang memutarbelitkan inti pati perbincangan menerusi podcast Keluar Sekejap dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
“Apa yang dimaksudkan oleh Premier adalah kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan parti-parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan termasuk PH, tidak wujud di peringkat Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Fazzrudin berkata, mungkin sukar bagi pemimpin PH Sarawak untuk mendengar pencapaian Kerajaan Sarawak yang dipimpin Abang Johari semasa temubual dalam podcast tersebut.
“Saya menasihatkan mereka (pemimpin PH Sarawak) untuk mendengar podcast itu secara keseluruhan dan bukannya memetik dari potongan video itu sahaja sehingga memutuskan untuk memutar belit fakta dan mengambil perkara di luar konteks,” katanya.
Premier Sarawak dan kepimpinan GPS komited memastikan kestabilan politik di Malaysia termasuk bekerjasama dengan parti-parti dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun, kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang serangan yang berniat jahat, tidak wajar dan tidak menghormati GPS,” tegasnya.
Menyentuh isu sama, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata ungkapan Premier semasa podcast, jelas telah disalah ertikan dan diputar belit oleh pihak-pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab.
Perbincangan podcast ketika itu adalah hubungan parti dalam Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
“Apa yang dimaksudkan oleh YAB Premier adalah kerjasama antara GPS dan parti-parti yang menubuhkan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan termasuk PH, tidak wujud di peringkat Sarawak,” kata kenyataan Pemuda PBB.
Ini disebabkan suasana politik di Sarawak berlainan berbanding peringkat Persekutuan dan isu ketidakstabilan politik tidak timbul di Sarawak.
Justeru, Pemuda PBB mengingatkan pemimpin PH Sarawak agar jangan biadap dan menjadi batu api.
“Kepimpinan GPS komited untuk memastikan keadaan politik Malaysia kekal stabil dan kerjasama akrab yang dijalinkan di peringkat persekutuan ini berterusan,” katanya.