KUCHING, 27 Julai: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengajak para pelajar menguasai bahasa Inggeris yang merupakan kunci kepada ilmu pengetahuan serta digunakan secara meluas dalam teknologi dan sains.
Menurutnya, bahasa Inggeris wajar dikuasai selain Bahasa Melayu sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan graduan Sarawak bertaraf antarabangsa.
“Ramai berkata bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kolonial atau penjajah. Kalau persepsi anda bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa penjajah maka ia akan menjadi satu cabaran.
“Bukan itu sahaja, rebutlah peluang untuk menimba bahasa ketiga jika ditawarkan oleh pihak universiti melalui subjek elektif seperti Bahasa Cina dan Bahasa Perancis,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli.
Abang Johari turut mengulangi bahawa Kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di semua universiti milik Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak menjelang 2026.
Tujuh institusi pendidikan tinggi milik Sarawak yang bakal menawarkan pendidikan percuma itu ialah Universiti Curtin, Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Laila Taib, Kolej Universiti i-CATS, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Sarawak Skills.
Beliau mahu rakyat Sarawak menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak dalam merancakkan sektor pendidikan.
“Timbalah ilmu tatkala umur anda masih lagi muda kerana keupayaan anak muda untuk belajar lebih tinggi berbanding golongan berumur.
“Belajarlah perkara baharu yang boleh memberi manfaat kepada Sarawak. Apabila Sarawak bangkit dan juga ekonomi kita kuat dan stabil, percayalah orang luar akan menghormati kita,” katanya.