BARIO, 27 Julai: Kerajaan komited melaksanakan Projek pembangunan di kawasan tanah tinggi di wilayah negeri ini meskipun menghadapi banyak cabaran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata banyak projek yang sedang dan dalam perancangan untuk dilaksanakan di pedalaman.
Fadillah yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata banyak cabaran dalam membangunkan infrastruktur di luar bandar seperti keadaan geografi yang mencabar.
“Semasa saya menjadi Menteri Kerja Raya dahulu, komitmen kita di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah menyediakan perkhidmatan yang lengkap untuk rakyat serta memperbaiki infrastruktur bagi memudahkan rakyat,” katanya berucap ketika Majlis Penangguhan Pesta Nukenen dan Kebudayaan Kelabit Bario ke-17 di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kini siap 99 peratus.
“Hanya satu peratus yang masih tertangguh di Miri disebabkan pemindahan paip air,” katanya.
Beliau berkata, projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa I sudah dalam proses pelaksanaan.
Ujarnya, SSLR ini bertujuan untuk menghubungkan kampung-kampung terpencil dan daerah ke jalan Utama.
Mengakui cabaran geografi dan dana projek-projek ini, beliau berkata kos pembinaan kini kian akan meningkat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata rancangan untuk membina jalan yang menghubungkan Ba’ Kelalan ke Bario kini dalam peringkat kajian.
“Kajian ini akan membantu kerajaan menentukan kos dan reka bentuk yang diperlukan dan kami berhasrat untuk memasukkannya dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” jelasnya. – TVS