BARIO, 26 Julai: Masyarakat Sarawak diseru agar mengekalkan tradisi yang telah diwarisi supaya tidak hilang ditelan zaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala berkata, generasi muda juga perlu mengambil tahu dan mempelajari kebudayaan kaum sendiri bagi membolehkan setiap budaya tradisional terus kekal.
Lebih 1,000 pelancong tempatan, asing hadiri Pesta Nukenen Bario
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak pada masa sama sangat menggalakkan setiap etnik untuk mempertahankan budaya dan tradisi mereka.
“(Seperti yang kita tahu) menjadi satu kebiasaan masyarakat di Sarawak ini hidup dalam suasana aman damai walaupun berbilang kaum, budaya dan kepercayaan.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong dan akan membantu rakyat menerusi pelbagai perayaan seperti Hari Gawai di peringkat negeri dan daerah, perayaan Tahun Baru Cina dan juga Hari Raya Aidilfitri.
“Menerusi perayaan yang disambut bersama-sama ini telah membuktikan Sarawak Unity in Diversity,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Nukenen dan Kebudayaan Kelabit Bario Ke-17, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah, pesta ini juga merupakan usaha untuk mengembangkan budaya, kesenian dan alat-alat muzik kaum Kelabit kepada masyarakat luar sekali gus mempromosikan Bario kepada dunia luar.
Menurutnya lagi, antara tujuan Pesta Nukenan dan Kebudayaan Bario diadakan adalah untuk memperkukuh dan mengeratkan silatutahim masyarakat.
“Pesta ini penting untuk generasi muda yang tidak kesempatan membesar di kampung.
“Mereka perlu untuk mengenali tempat asal di Tanah Tinggi Kelabit dan membiasakan mereka dengan budaya, adat, dan nilai-nilai tradisi masyarakat kita,” tambahnya.
Pada majlis itu Gerawat turut mengumumkan peruntukan RM30, 000 untuk penganjuran pesta berkenaan pada edisi akan datang.
Pesta selama tiga hari ini bermula 25 Julai hingga 27 Julai dan diraikan pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu penghujung Julai setiap tahun.
Pesta kali ini dihadiri hampir 1,000 orang pengunjung dalam dan luar negara termasuk England, China dan Amerika Syarikat. -TVS.