KUCHING, 27 Julai: Kampus baharu Kolej Universiti i-CATS yang bakal dibina di kawasan berdekatan pantai di Trombol akan dilengkapi dengan teknologi pembelajaran moden yang terkini seiring dengan kepesatan teknologi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan kampus institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak itu akan menelan kos kira-kira RM300 juta.
“Pada masa sama, ia akan mempunyai makmal canggih untuk melahirkan siswazah yang akan menaik taraf Sarawak sebagai pusat pembelajaran moden.
“Matlamatnya adalah untuk melahirkan graduan yang berkebolehan tinggi bagi memartabatkan Sarawak sebagai pusat pembelajaran moden,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli.
Dalam pada itu, i-CATS akan menawarkan pengajian aeroangkasa bermula September ini.
Menurutnya, kelulusan telah diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi bagi kolej berkenaan menawarkan pengajian itu.