KUCHING, 26 Julai: Dua syarikat yang berpangkalan di Turkiye mengintai peluang bagi mewujudkan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam sektor tenaga hijau, produksi teknologi bernilai tinggi dan aeroangkasa.
Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata sektor-sektor berkenaan merupakan kepakaran syarikat di negara berkenaan. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama dua syarikat tersebut.
“Kita mempunyai beberapa syarikat yang bekerja ke arah itu dan sebab itulah saya sendiri membawa syarikat-syarikat tersebut dan memperkenalkannya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kami membincangkan keupayaan mereka dan bagaimana kita boleh mencapai sinergi antara syarikat-syarikat tersebut dengan kemampuan Kerajaan Sarawak.
“Kita bercakap tentang industri teknologi tinggi kebanyakannya, penghasilan tenaga elektrik dan ada beberapa perkara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Emir berkata, ini merupakan lawatan ketiga beliau ke Sarawak dan beliau dapat melihat dengan jelas setiap idea dan aktiviti baharu yang dicetuskan Abang Johari.
“Visi Sarawak secara peribadinya membuat saya tertarik kerana terdapat banyak aktiviti ekonomi besar dan visi Premier Sarawak adalah sangat menarik,” ujarnya.
Sebelum ini Emir berkata Sarawak mampu menjadi rakan niaga yang sesuai untuk Turkiye mengembangkan perniagaan.
Ia berdasarkan sumber dan iklim perniagaan di Sarawak yang dilihat boleh memberi peluang untuk Turkiye menjalin kerjasama yang mampu membuahkan hasil. – TVS