LUNDU, 26 Julai: Penyimpanan dan perdagangan karbon hanya dilaksanakan selepas kajian menyeluruh oleh pakar, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, penglibatan wilayah ini dalam sektor ekonomi hijau itu juga selaras dengan protokol antarabangsa.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan isu berkaitan perubahan iklim.
“Penyimpanan karbon dan perdagangan karbon ini merupakan perkara baharu sebab itulah kita (Sarawak) hendak membantu (mengatasi perubahan) iklim.
“Bagaimana anda boleh menentang dilema global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta dan Regatta Batang Kayan Lundu 2024, di sini, hari ini.
Abang Johari mengulas kenyataan badan pemantau alam sekitar, Rimba Watch yang bimbang hutan seluas 85,000 hektar di Sabah dan Sarawak berpotensi untuk dijual selepas diiklankan di portal hartanah.
CENTEXS Lundu jadi pusat latihan teori kursus aeroangkasa di Sarawak – Abang Johari
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata walaupun badan pemantau berkenaan mendakwa mereka sebagai pakar, Kerajaan Sarawak juga merujuk kepada pakarnya sendiri sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita pun buat kajian menyeluruh mengikut protokol antarabangsa.
“Ini tuntutan dunia (dan) sebab itu kita laksanakan (perdagangan karbon). Kalau itu salah, ini salah, apa lagi,” katanya. -TVS.