KOTA KINABALU, 26 Julai: Sabah akan menghantar 713 atlet iaitu 373 atlet lelaki dan 340 wanita ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata kontinjen negeri akan menyertai 35 daripada 37 acara dipertandingkan, dan tidak mengambil bahagian dalam sukan catur susulan isu teknikal pendaftaran atlet dan kabaddi kerana tiada program pembangunan sukan berkenaan di negeri itu.
“Sabah juga menyasarkan 40 pingat emas. Sebagai Ketua Delegasi Kontinjen Negeri Sabah, saya mengharapkan agar semua pegawai dan atlet menunjukkan disiplin serta semangat patriotik tertinggi dalam menjaga nama baik Negeri Di Bawah Bayu yang kita cintai ini.
“Selamat berjuang kepada atlet kita, semoga membawa pulang kejayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ellron berkata rekod terbaik Sabah ialah pada edisi 2018 di Perak apabila membawa pulang 33 pingat emas, 27 perak dan 46 gangsa.
Beliau berkata daripada 713 atlet bertanding, sebanyak 390 atlet atau hampir 55 peratus terdiri daripada atlet yang digilap menerusi penganjuran Sukan Sabah (SAGA) tahun lepas.
“Ia menunjukkan keberkesanan program pembangunan sukan akar umbi di Sabah yang diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet negara dari negeri ini pada masa akan datang,” katanya. -TVS