KUCHING, 26 Julai: Sebanyak 91.16 juta pokok telah ditanam menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara setakat ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jumlah itu membabitkan 1,849 spesies pokok. Daripada jumlah itu juga, 35 juta pokok ditanam di Sarawak.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak kerana berjaya melakar pencapaian membanggakan di bawah program ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii pada Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Sambutan itu dirasmikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Tambahnya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation – EFT) sejak tahun 2019.
Insentif ini diberi kepada kerajaan-kerajaan negeri yang menjalankan usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan perlindungan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang baharu.
Bagi tempoh 2019 hingga 2024, peruntukan EFT adalah berjumlah RM550 juta dan Sarawak telah menerima peruntukan EFT sebanyak RM55.4 juta sejak ia diperkenalkan.
Selain daripada insentif kewangan EFT, Kementerian telah memperkenalkan Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework – RFF) bagi meningkatkan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan negeri dalam menyalurkan dana kepada aktiviti pemeliharaan dan pengurusan hutan.
Melalui RFF, dua cadangan instrumen, iaitu Sijil Konservasi Hutan (Forest Conservation Certificate – FCC) dan Offset Karbon Hutan (Forest Carbon Offset – FCO) dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF) dan pada bulan Mei yang lepas, instrumen FCC telah dilancarkan semasa penganjuran Global Forum on Islamic Finance and Economics (GFIEF). – TVS