KUCHING, 26 Julai: Kementerian Industri Makanan Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan agensi di bawahnya perlu terus bergerak sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 dan segala inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Kementerian M-ficord perlu memastikan segala strategi dan tindakan diambil adalah inovatif dan berpandangan ke hadapan.
“Dengan berbuat demikian kita dapat menyumbang kepada pendekatan pembangunan polisi yang memberi manfaat kepada semua rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Konvensyen Innovative And Creative Circle (ICC) Peringkat Kementerian Industri Makanan Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.
Abu Bakar berkata lagi, bagi mendukung usaha ini idea-idea baharu yang kreatif dan inovatif, ia perlu disokong dengan persekitaran kondusif supaya ia dapat terus maju dan juga berkembang.
Tidak kurang mustahak warga kementerian itu perlu memiliki sifat keterbukaan terhadap perubahan dan bersedia mengambil risiko.
Tambahnya usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterapkan dengan lebih pantas dan menyeluruh menerusi penjanaan lebih banyak idea-idea baharu untuk pembangunan dan kemajuan secara keseluruhannya.
Pelaksanaan Konvensyen ICC diharap dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi kepada rakyat, ujarnya. – TVS