BARIO, 26 Julai: Pesta Nukenen Bario atau Pesta Makanan Bario menjadi acara yang memberi impak kepada masyarakat setempat.
Pemanca Callena Lallang Sakai berkata, ini kerana kehadiran pelancong ke sini sempena acara itu menghidupkan aktiviti pelancongan kawasan berkenaan.
Kata beliau, selain makanan tradisi, produk kraf yang dihasilkan penduduk turut menjadi tarikan.
“(Pesta ini bukan sahaja dihadiri oleh) pelancong tempatan malah turut menyaksikan kemasukan pelancong luar Sarawak.
“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan penduduk melalui hasil jualan makanan dan barangan kraf tangan,” katanya semasa Majlis Perasmian Pesta Nukenen dan Kebudayaan Kelabit Bario Ke-17, di sini hari ini.
Dalam pada itu kata Callena Lallang, pesta ini juga merupakan usaha untuk mengembangkan budaya, kesenian dan alat-alat muzik kaum Kelabit kepada masyarakat dunia.
“(Semestinya kita juga mahu) mempromosikan keistimewaan pelancongan Bario kepada dunia luar,” katanya.
Pesta Nukenen dan Kebudayaan Bario Ke-17 disambut pada Khamis, Jumaat dan Sabtu pada hujung Julai setiap tahun sebelum musim menuai padi.
Acara kali ini dihadiri hampir 1,000 pengunjung dalam dan luar negara termasuk dari England, Amerika Syarikat dan China. -TVS.