KUALA LUMPUR, 26 Julai: Kementerian Kesihatan (KKM) membuka permohonan sebanyak 3,950 jawatan secara lantikan kontrak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Menurut KKM iklan pengambilan dibuka mulai 18 Julai 2024 hingga 31 Julai 2024.
Jelas kementerian itu, tawaran itu selari dengan keputusan kerajaan berhubung pelantikan secara kontrak mulai 1 Februari 2024 hingga suatu kaedah lantikan tetap yang baharu diperkenalkan.
“(Pengambilan) kali ini meliputi 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi serta baki calon yang memenuhi syarat akan dijadikan sebagai calon simpanan,” jelas KKM menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah KKM, tawaran juga terbuka kepada calon lantikan kontrak mengikut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bilangan 4 Tahun 2016 sama ada yang sedang berkhidmat atau tidak lagi berkhidmat di kementerian itu.
“Calon yang memohon hendaklah menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib serta mempunyai perakuan pendaftaran penuh.
“Calon yang berminat disarankan untuk membuat permohonan menerusi portal SPA9 iaitu https://spa9.spa.gov.my sebelum atau pada tarikh tutup iklan,” jelas kenyataan itu.
Bagi pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak ini, KKM memaklumkan mereka berpeluang untuk dilantik secara tetap tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan. -TVS.