Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
SMK Suai, Miri membuktikan sekolah luar bandar mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam STPM. Foto SMK Suai

Kesusahan keluarga pembakar semangat cemerlang STPM

BySteward Dawi

MIRI, 26 Julai: Menyiapkan kerja sekolah mengikut waktu yang ditetapkan menjadi kunci kejayaan Johansson Laga Jerry yang memperolehi PNGK 4.00 dengan 4A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Menurutnya, resepi kejayaannya juga bersandarkan ketekunan bertanya dengan rakan seperjuangan dan guru.

Malah, kesusahan dan kekurangan yang dihadapi dari segi ekonomi keluarga serta pengorbanan ibu bapa menjadi pembakar semangat dalam mengecapi kejayaan tersebut.

Pengetua SMK Suai, McNair Kudang semasa memberi insentif pelajar cemerlang kepada Johansson Laga Jerry. Foto SMK Suai.

“Saya memang berniat untuk melanjutkan pengajian di Tingkatan Enam dengan harapan untuk medapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dengan kos yang lebih rendah bersesuaian dengan keadaan ekonomi keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Johansson memberitahu, dia juga sentiasa berdoa sebelum tidur, sebelum dan selepas menjawab peperiksaan untuk memohon keberkatan bagi setiap usaha yang dilakukan.

Dia merupakan satu-satunya calon STPM 2023 di Pusat Tingkatan Enam (PT6) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suai iaitu sebuah sekolah menengah luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu yang berjaya memperoleh keputusan semua A dalam subjek diambil.

Sementara itu, bagi Veronica Ambros Awas yang mendapat keputusan PNGK 3.83 dengan 3A, 1B+, tidak mendapat anugerah pelajar cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi pencetus semangat untuk belajar di Tingkatan Enam bagi menebus semula kekurangannya semasa menjadi pelajar SPM.

“Saya sentiasa berpegang teguh kepada kata-kata nasihat cikgu iaitu ‘konsisten’ dalam pembelajaran dan sifat positif seperti ini sangat penting untuk pelajar STPM,” katanya.

Jelasnya, pada semester dua markahnya jatuh teruk dan hampir berhenti meneruskan pengajian.

“Namun, saya kembali bangkit apabila ramai guru yang terus menerus memberik galakan kepada saya untuk kekal berjuang dan tidak mudah mengalah,” tambahnya.

Menurut Penolong Kanan Tingkatan Enam, Wong Ling Ing, PT6 SMK Suai telah membuktikan bahawa sekolah di luar bandar mampu melahirkan pelajar cemerlang.

“Perkara ini dapat dilihat apabila tiga tahun berturut-turut, PT6 SMK Suai telah berjaya melahirkan pelajar menadapat PNGK 4.00 dan dua tahun berturut-turut mencatat 100 peratus lulus,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Suai, McNair Kudang menyatakan harapannya untuk sentiasa bersama barisan guru dalam menggembleng tenaga dan berkongsi idea untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar STPM pada masa akan datang dengan harapan keputusan cemerlang akan memberi peluang lebih cerah kepada mereka untuk bersaing dalam menempatkan diri ke menara gading.

PT6 SMK Suai, bagi STPM 2023, seorang pelajar mendapat PNGK 4.00 dan 25 orang pelajar mendapat PNGK 3.00 dan ke atas.

Bagi Gred Purata Sekolah, PT6 SMK Suai mencatat 2.64 (2022) dan 2.78 (2023). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan