SIBU, 26 Julai: Seramai 29, 331 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) setakat 10 Julai lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, inisiatif berkenaan melibatkan pembayaran berjumlah RM56 juta.
Kata beliau, kerajaan juga komited meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun ini.
“Pada tahun ini juga, kerajaan telah meningkatkan peruntukan BSH sebanyak tiga kali ganda yang melibatkan peruntukan RM54 juta kepada RM174 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Program PVM Daerah Sibu di sini petang tadi.
Adly berkata, kementerian akan memastikan peruntukan itu dibelanjakan melalui skim bantuan yang disediakan oleh JHEV ATM.
“(Ini supaya ia dapat) dimanfaatkan oleh veteran ATM yang berdaftar melalui sistem VIBES.
“Sehingga kini, statistik keahlian mencatatkan seramai 16,939 orang veteran ATM di sekitar Sarawak dengan 4,964 orang merupakan veteran yang tidak berpencen.
“Keahlian di Sibu seramai 1,340 orang veteran dengan 313 orang daripadanya merupakan veteran tidak berpencen,” katanya.
Justeru, katany semua veteran ATM disarankan supaya mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi melalui JHEV ATM atau persatuan-persatuan di lokaliti masing-masing.
“Pelbagai bantuan telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan kebajikan veteran ATM sentiasa dipelihara seperti Skim Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.
“Keseluruhan bantuan ini dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur dan efektif sekiranya berdaftar dengan JHEV ATM,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Adly berkata seramai 20 orang veteran ATM telah disantuni melalui Program Veteran Madani (PVM) di Sibu yang bermula hari ini.
Jelajah hari ini turut disertai Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus dan Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sarawak, Mejar Steven Kadir. -TVS.