KUALA LUMPUR, 26 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) untuk memperkasa kegiatan koperasi di seluruh negara.
Kata Perdana Menteri daripada jumlah itu sejumlah RM2 juta disalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk Angkasa melaksanakan Jualan Rahmah.
Tambah Anwar, sebanyak RM2 juta pula diberikan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk disalurkan kepada koperasi di perkampungan MADANI.
“Ekonomi MADANI menuntut seluruh jentera kerajaan beri tumpuan dan perhatian kepada koperasi.
“Selain itu, kita ada Kementerian Digital dan saya mahu kementerian ini memerhati salah satu fokus iaitu program ANGKASA dan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya, Datuk R.Ramanan.
Sementara itu Anwar turut memaklumkan sebanyak RM1 juta turut disediakan oleh kerajaan bagi program ASEAN Cooperative sepanjang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.
“Ini akan disalurkan kepada ANGKASA kerana Presidennya merupakan Pengerusi ASEAN Cooperative Organisation,” katanya.
Pada majlis sama Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM500,000 yang juga peruntukan baharu kepada koperasi masjid di desa.
“(Ini dilaksanakan menerusi) penyaluran kepada ANGKASA,” katanya.
Selain itu katanya ANGKASA turut menerima tambahan RM500,000 untuk latihan peningkatan kompetensi.
Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang diadakan dua hari ini menjadi medan untuk koperasi negara membincangkan isu, inisiatif serta hala tuju baharu dalam memperkasakan peranan mereka membantu kerajaan dan mendepani cabaran semasa. -TVS.