SARIKEI, 25 Julai: Seorang lelaki mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan termasuk kes rogol di kawasan Sungai Baron di sini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sarikei, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, pertuduhan suspek, 37, juga melibatkan kes rompak di sini.
Menurut Aswandy, bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 376(2) (b) Kanun Keseksaan suspek dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 18 sebatan.
” Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan suspek dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan, hukuman dijalankan selepas menjalani hukuman bagi kes Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan.
“Manakala bagi pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, suspek dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dilaksanakan serentak dengan kes Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Aswandy, seterusnya pertuduhan keempat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan suspek dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan hukuman dijalankan serentak dengan kes Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Hukuman penjara katanya, berkuat kuasa daripada tarikh suspek dituduh di mahkamah iaitu semalam, 24 Julai 2024.
“Suspek telah diserahkan kepada Penjara Sibu untuk menjalani hukuman. Sebagai langkah pencegahan, saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta keluarga,” ujarnya. -TVS