BINTULU, 25 Julai: Polis Bintulu memberkas empat lelaki yang dipercayai terlibat kes kecurian komponen komunikasi di Menara Telco di sekitar daerah ini dan Miri.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, hasil pemeriksaan dan tangkapan yang dijalankan telah merampas pelbagai peralatan digunakan untuk memotong kabel dan gulungan kabel serta komponen bateri.
“Semakan rekod lampau ke atas keempat-empat suspek berusia 25 hingga 42 tahun mendapati mereka memiliki 10 rekod jenayah curi dan lapan rekod penyalahgunaan dadah
“Permohonan tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Bintulu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif methamphatemine dan seorang suspek negatif dadah.
“Pihak polis tidak berkompromi ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah,” tegasnya. -TVS