Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Empat buah helikopter anti kapal selam merupakan antara aset pertahanan baharu yang dirancang untuk dimiliki oleh Tentera Laut Malaysia (TLDM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Foto hiasan, Envato.

Dewan Negara: Empat helikopter anti kapal selam antara aset baharu TLDM menerusi RMK13

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Empat buah helikopter anti kapal selam merupakan antara aset pertahanan baharu yang dirancang untuk dimiliki oleh Tentera Laut Malaysia (TLDM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, selain itu armada berkenaan juga merancang perolehan dua kapal Multi-Role Support Ship (MRSS), tiga buah kapal Littoral Mission Ship Batch 3 dan enam buah Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

Jelas beliau, secara keseluruhannya kesemua perolehan aset strategik TLDM di bawah RMK13 sehingga 2030 dianggarkan berjumlah RM11 bilion.

“Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 dilaksanakan dengan tujuan agar TLDM berupaya untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam melaksanakan operasi dan tugasan penting bagi mempertahankan kedaulatan kawasan maritim negara.

“Perubahan landskap geo politik dan geo-strategik, kekangan kewangan dan cabaran dalam industri menyebabkan penjajaran terhadap Pelan Transformasi TLDM 15to5 perlu dilakukan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Noraini Idris yang ingin tahu bagaimana Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 berupaya memperkukuh sistem keselamatan maritim di Sabah dan anggaran perbelanjaan dalam pengurusan serta pembangunan bagi setiap pemerolehan aset.

Sementara itu Adly memaklukan beberapa inisiatif baharu telah diwujudkan dalam pelan tersebut bagi meningkatkan keupayaan tempur dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi.

“Melalui pelan ini juga, TLDM telah memperkasakan sistem keselamatan maritim melibatkan sempadan wilayah Sabah.

“Melalui peruntukan kewangan yang telah diluluskan dalam RMK11 dan RMK12, TLDM berjaya memperoleh empat buah kapal Littoral Mission Ship Batch 1, tiga buah Helikopter Operasi Maritim dan 19 bot Fast Interceptor Craft (FIC). Kesemua empat kapal Littoral Mission Ship Batch 1 dan Helikopter Operasi Maritim ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan, keupayaan radar di Sabah telah dipertingkatkan dan kini berjaya mengawal hampir keseluruhan kawasan maritim di sana dengan kerjasama Angkatan Tugasan Bersama (ATB).

Pada masa sama beliau menjelaskan peningkatan teknologi dalam sistem pertahankan turut menjadi fokus TLDM.

“Sebab itu banyak pembangunan yang kita lakukan di Sabah termasuk di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2).

“Kita dalam proses pembangunan (termasuk) naik taraf jeti sedia ada kerana menjelang 2027, kita akan terima kapal misi pesisir (LMS) dan pada 2006 kita terima kapal tempur pesisir (LCS), jadi penyediaan infra kita telah rancang,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan