KUALA LUMPUR, 25 Julai: Seramai 3.4 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel yang melibatkan jumlah RM8.9 bilion.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu mewakili sebanyak 26.2 peratus daripada jumlah 13.1 juta ahli berusia bawah umur 55 tahun.
Jelas beliau, pengeluaran itu tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran ahli adalah dalam lingkungan alokasi tunai dan pasaran wang KWSP.
“(Sementara itu) setakat 19 Julai 2024, seramai 3.8 juta atau 29.3 peratus ahli telah memilih mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan sebanyak RM12.6 bilion,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Anna Bell@Suzieana Perian yang meminta Menteri Kewangan menyatakan peratusan pencaruman yang memilih untuk memindahkan caruman ke dalam Akaun 3 dan membuat pengeluaran sehingga kini serta apakah implikasi besar ekonomi kepada KWSP dan negara ekoran pengumuman Akaun 3 KWSP pada Mei 2024.
Sementara itu Amir Hamzah memaklumkan sebanyak RM5.6 bilion dipindahkan ke Akaun Persaraan.
“Pindahan ke Akaun Persaraan ini memberi kesan kepada peningkatan simpanan ahli iaitu penambahan seramai 43,000 ahli baharu telah mencapai simpanan asas,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut berkongsi kepada sidang dewan ketika pandemik COVID-19, sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh ahli menerusi empat kali pengeluaran yang dibenarkan kerajaan.
“Ini tidak termasuk pengurangan caruman di mana RM10 bilion yang sepatutnya masuk ke KWSP tidak masuk, jadi saya boleh katanya RM155 bilion jumlah keseluruhan,” katanya.
Pada masa sama, Amir Hamzah memaklumkan kewangan KWSP yang masih mampan.
“Saiz dana KWSP masih besar kerana aset bawah seliaan kita sekitar RM1.2 trilion, walaupun pengeluaran besar, tidak jejas kewangan KWSP,” katanya. -TVS.