KUCHING, 24 Julai: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan Yayasan Sarawak menyediakan bantuan kewangan khas kepada golongan penerbit buku di Sarawak.
Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli berkata, perkara berkenaan dinyatakan Tun Dr Wan Junaidi yang mahu peruntukan disediakan kepada golongan penerbit buku diwujudkan berikutan peningkatan kos-kos penerbitan pada masa ini.
Menurut Mersal, Yayasan Sarawak sememangnya mempunyai bantuan sedemikian sebelum ini iaitu sebanyak RM20,000 untuk satu penerbitan namun begitu pandangan Tun Dr Wan Junaidi bakal diperhalusi pihaknya.
“Jadi Tun Dr Wan Junaidi telah menasihati pihak Yayasan Sarawak untuk memberi peruntukan khusus dan bantuan kepada penerbit-penerbit untuk menerbit buku berkaitan apa-apa subjek atau perkara tetapi penerbit adalah orang Sarawak. Setakat ini kita memang ada program tersebut cuma ia terhad kepada lebih kurang RM20,000 untuk satu penerbitan.
“Tun telah menasihat pihak yayasan untuk melihat jumlah tersebut memandangkan sekarang kos telah meningkat begitu banyak jadi mungkin itu terlalu sedikitlah jadi beliau menasihati saya untuk membawa perkara ini kepada Lembaga Amanah Yayasan untuk melihat semula kuantum yang dibantu kepada penerbit-penerbit buku lah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak di Kuching pada Rabu.
Mersal menambah perkara berkenaan akan dimajukan kepada Pengerusi Yayasan Sarawak, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Amanah Yayasan bagi melihat kuota yang lebih munasabah dengan mengambil kira peningkatan kos penerbitan buku pada masa sekarang.
Delegasi Yayasan Sarawak turut disertai Pemangku Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak (Pendidikan), Watson Chunggat Leonard Doo. -TVS