KUALA LUMPUR, 24 Julai: Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menegaskan beliau akan memastikan hak kesemua lapisan masyarakat di negara ini akan disuarakan secara adil di dewan itu.
Katanya, perkara itu juga perlu dibangkitkan dengan harmoni tanpa sebarang perbalahan oleh ahli dewan.
Sejak dilantik memegang jawatan berkenaan pada 22 Julai lepas, Awang Bemee berkata, dia bertanggungjawab untuk memastikan mesyuarat berjalan lancar.
“Apa yang berlaku tertumpu kepada ucapan, berbahasan, usul dan perkara-perkara berkaitan.
“Jika berlaku perbalahan saya akan membuat keputusan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Negara.
“Perkara itu telah kita lalui sepanjang tiga hari ini. Syukur, Alhamdulillah saya tidak perlu membuat sebarang keputusan perbalahan kerana senator, menteri dan ahli korporat terdiri daripada golongon profesional,” katanya kepada TVS di pejabatanya di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Awang Bemee juga berkata, pemilihan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara Ke-21 merupakan satu penghormatan kepada Sarawak.
“Alhamdulillah pemilihan pada 22 Julai 2024 lepas bersamaan Hari Sarawak.
“Pada hari itu, hanya satu nama sahaja yang dicalonkan, maka saya dipilih atas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga restu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Cadangan perlantikan Awang Bemee pada 22 Julai lepas yang dikemukakan oleh Anwar serta disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Awang Bemee menjadi warga Sarawak yang keempat memegang jawatan berkenaan selepas Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Muhideen (1988-1990), Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (19 Jun 2023-19 Januari 2024) dan Datuk Mutang Tagal (19 Februari 2024 – 10 Mei 2024). -TVS.