BINTULU, 24 Julai: Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terlibat kemalangan kendiri di Kampung Nyalau di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali Ricky Nelson,25, merupakan kelindan lori, manakala pemandu berusia 71 tahun dan seorang lagi kelindan berusia 23 tahun cedera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.27 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Samalaju ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya kendiri melibatkan sebuah lori tiga tan.
“Seorang mangsa tersepit di bahagian kaki dan dua orang lagi berjaya keluar dengan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba membuat size-up dilokasi dan teknik penyelamatan menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa.
“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba mengalih mangsa di tempat selamat.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bintulu jam 3.40 petang,” katanya.
Tambahnya pasukan bomba menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada pihak polis pada jam 6.15 petang. -TVS