KUCHING, 24 Julai: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) hari ini melancarkan Pusingan Bidaan Sarawak (SBR) 2024 yang merupakan inisiatif utama untuk memanfaatkan hasil geologi yang dimiliki Sarawak untuk industri Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Menurut Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak PETROS, Nazrin Banu Shaikh Sajjad Ahmad, pusingan bidaan itu bertujuan untuk mempromosi dan mempamerkan keupayaan penyimpanan karbon Sarawak serta menyediakan platform yang telus dan berdaya saing untuk pelabur yang berminat menjalankan kajian penyimpanan tekno-komersial bagi membangunkan rantaian nilai CCUS di Sarawak.
“Pusingan Bidaan Sarawak (SBR) 2024 lebih daripada sekadar acara. Ia merupakan pencapaian strategik ke arah ekonomi rendah karbon, didayakan oleh industri CCUS.
“Pusingan bidaan ini menyediakan platform unik untuk pihak berkepentingan bagi meneroka dan melaksanakan penyelesaian inovatif yang akan memacu matlamat pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kita menuju ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih”, katanya dalam Majlis Pelancaran Pusingan Bidaan Sarawak (SBR) 2024, di sini, pada Rabu.
Ujar Nazrin, dengan tema ‘Advancing CCUS for Sarawak and Beyond‘, PETROS komited untuk memacu inovasi CCUS dan menyumbang kepada matlamat untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
“Melalui kerjasama bermatlamat antara PETROS sebagai Pengurus Sumber CCUS dan syarikat yang berwibawa, Sarawak boleh mencapai visinya untuk menjadi penyedia pilihan penyelesaian karbon rendah serantau sekaligus menjadikan Sarawak sebagai pusat CCUS di rantau Asia Pasifik,” katanya lagi.
Tiga tapak penyimpanan karbon telah dikenal pasti untuk pusingan bida ini, dimana setiap satu menawarkan kelebihan dan peluang unik untuk menjayakan kajian CCUS dengan anggaran jumlah kapasiti penyimpanan kira-kira 1,000 juta tan (MT) CO2e.
Selain CCUS, ujar Nazrin lagi, PETROS juga komited untuk membangunkan potensi serta memajukan pengkomersilan awal penemuan minyak dan gas di luar pesisir pantai Sarawak.
“Hari ini, Adong Kechil West di Blok SK433, terletak 24 km dari bandar Miri, sedang berkembang dengan baik ke arah pengeluaran dan pengkomersilan pertama pada 2025.
“Pada masa ini, kami sedang menjalankan lebih banyak kajian melalui pemprosesan semula seismik, pemerolehan seismik dan meneliti aplikasi teknologi graviti tensor penuh (e-FTG) yang dipertingkatkan di daratan Sarawak,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Pusingan Bidaan Sarawak 2024, sila hubungi petros.sbr@petroleumsarawak.com.
Kira-kira 200 peserta terdiri daripada syarikat multinasional, termasuk pemain industri huluan, pemancar karbon, pemaju infrastruktur, penyedia perkhidmatan, syarikat perkapalan, institusi kewangan dan firma perunding menghadiri majlis pelancaran hari ini.- TVS