KUCHING, 24 Julai: Kerajaan Sarawak bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan projek inovatif sistem agrivoltaik dengan panel solar di Baram.
Pengerusi Planet QEOS Sdn Bhd, Dino Bidari, berkata pelaksanaan projek itu selari dengan visi dan misi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Abang Johari berkaitan pembangunan mampan menerusi revolusi penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya inisiatif berkenaan juga menangani komponen keselamatan makanan yang kritikal, selain mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu dalam industri berkaitan dan teknologi makanan dalam wilayah Baram.
“Kerajaan Sarawak telah memberikan kelulusan secara berprinsip untuk Planet QEOS menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menjana antara 500 MWac hingga 4000 MWac kuasa boleh diperbaharui melalui tenaga solar di Baram.
“Sokongan ini membuka jalan kepada pembinaan ladang solar dengan kadar segara,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Dino, pelaksanaan projek itu termasuk pemasangan solar dengan kapasiti sehingga 20 GWp dan penstoran bateri sehingga 40 GWhr menjelang 2030.
Sementara itu, UEM Lestra menjadi rakan kongsi dengan memperuntukkan kewangan bagi Fasa 1 projek berkenaan.
Pengerusi UEM Group Bhd, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata tumpuan awal mereka adalah bagi membangunkan 500 MWac agrivoltaik solar.
“Kami amat berbesar hati kerana berpeluang untuk memberikan cadangan kami kepada Kerajaan Sarawak dan Premier telah bersetuju secara prinsip untuk meneruskan projek ini.
“Kami rasa projek ini akan menjadi projek penggerak dan memberi manfaat bagi Kerajaan Sarawak, rakyat Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Planet QEOS Dr Gabriel Walter dan Ketua Pegawai Operasi Planet QEOS Lam Poh Lian. -TVS