Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pakar berkata dasar ekonomi yang dilaksana perlu mencakupi aspek penting, iaitu melalui reformasi pendidikan dan pengadaptasian teknologi berskala tinggi. Foto: Amirah Shawel (TVS)

Kerajaan perlu laksana reformasi struktur ekonomi, pulihkan nilai ringgit – Penganalisis

ByAmirah Shawel

KUCHING, 24 Julai: Kerajaan disaran untuk melaksanakan reformasi pada ekosistem ekonomi negara dalam usaha menambah baik nilai ringgit, demikian menurut penganalisis.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata struktur perniagaan dan perindustrian perlu ditransformasikan kepada sektor ekonomi bernilai tinggi (high-end economic sector).

Jelas beliau, dasar ekonomi yang dilaksana perlu mencakupi aspek penting, melalui reformasi pendidikan dan pengadaptasian teknologi berskala tinggi.

“Kedua-dua ini akan meletakkan ekonomi lebih kompetitif dan menjadi tumpuan pelabur dunia.

“Ini adalah nilai tambah yang perlu dan harus kita usahakan, pada akhirnya pelabur akan berminat untuk melabur di Malaysia kerana keupayaan kita mengendalikan sektor ekonomi yang kompleks,” katanya ketika dihubungi TVS.

Tambahnya, Malaysia juga seharusnya berkemampuan untuk mengeluarkan produk bernilai tinggi dan pada skala yang besar, dengan melibatkan kos dan masa yang minimal.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa inisiatif itu memerlukan masa dan usaha berterusan, namun tegasnya langkah awal perlu diambil bagi memulihkan nilai ringgit.

Mengulas pengumuman Jabatan Perangkaan (DOSM) mengenai inflasi negara kekal dua peratus pada Jun 2024, para pengguna disaran untuk mengamalkan sikap bijak berbelanja.

Dr Dzul berkata perancangan kewangan yang bernas dalam kalangan pengguna akan membantu dalam mengurangkan kuasa sentimen pasaran untuk memanipulasi harga barangan.

“Dengan kesedaran ini, pengguna dapat membantu menstabilkan harga dan mengelak harga yang tidak munasabah.

“Ini memberi kesan atau tekanan kepada peniaga untuk membuat penyesuaian harga dan akhirnya kemenangan di pihak pengguna,” ujarnya.

Langkah itu tambahnya akan memberi tekanan kepad pasaran untuk menjadi lebih responsif terhadap gelagat pengguna, seterusnya dapat mengurangkan kadar inflasi yang membebankan rakyat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan