KUCHING, 24 Julai: Inflasi Malaysia kekal dua peratus pada Jun 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.0 berbanding 130.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin menjelaskan pertumbuhan ini dipengaruhi oleh restoran dan perkhidmatan penginapan (3.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus).
Antara lain penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus) serta makan dan minuman (2.0 peratus).
“Manakala, pakaian dan kasut; dan insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing menurun kepada negatif 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” jelasnya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna Malaysia Jun 2024, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya kenaikan inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan adalah disebabkan peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus.
Sementara itu bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus.
Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.7 peratus) dan Selangor (2.4 peratus).
“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.9 peratus) dan Perlis (2.1 peratus),” katanya.
Menyentuh perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.3 peratus), Philippines (3.7 peratus), Indonesia (2.5 peratus) dan Korea Selatan (2.4 peratus).
Namun, kadar tersebut adalah lebih tinggi berbanding Thailand (0.6%) dan China (0.2%). -TVS