KUCHING, 24 Julai: Dua syarikat tenaga yang berpangkalan di China iaitu Shanghai Electric Power T&D Group dan China Three Gorges International Limited (CTGI) berminat untuk berkolaboratif dengan Kerajaan Sarawak membangunkan industri tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Wakil Shanghai Electric Malaysia meyakini kerjasama yang bakal dijalinkan dapat merealisasikan matlamat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga boleh diperbaharui.
“Justeru kami dari Shanghai Electric dan CTGI ingin menyatakan minat dan sokongan kami untuk turut serta dalam pembangunan tenaga hijau ini, dan kami merancang untuk melabur lebih USD10 bilion di sini, Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Beliau menambah, kedua-dua syarikat itu adalah salah satu pemaju dan pelabur terbesar dunia dalam industri dan pengeluar dan kontraktor peralatan bertaraf dunia.
Justeru, dengan pencapaian itu, beliau optimis kedua-dua syarikat tersebut dapat membantu merealisasikan hasrat Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Terdahulu Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Pengurus Mubadala Energy, Nr Khalfan Al Mansoori dan Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi Mubadala Energy, Varian Ignatius. – TVS