KUALA LUMPUR, 24 Julai: Selangor mencatatkan bilangan penerima skim Bantuan Perlindungan Kesihatan Masyarakat (MySalam) yang tertinggi iaitu mencecah 1.48 juta orang.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, ini diikuti Johor dengan seramai 1.34 juta, Sarawak (1.13 juta) dan Kelantan 825,000 orang.
Pada tahun ini jelas beliau kerajaan menganggarkan lebih 10.92 juta penerima membabitkan golongan B40 akan menerima manfaat skim ini.
“Bagi pelaksanaan MySalam pada masa akan datang, Kementerian Kewangan sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan skim ini bersama pengendali takaful dan penanggung insurans berlesen bagi mempelbagaikan penawaran skim perlindungan yang memenuhi keperluan B40,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta kementerian menyatakan jumlah penerima skim MySalam mengikut negeri dan adakah kerajaan akan melanjut skim tersebut memandangkan ia akan berakhir pada tahun 2025.
MySalam merupakan skim perlindungan takaful percuma yang disediakan oleh kerajaan kepada golongan B40.
Skim ini mula diperkenalkan pada 2019 untuk individu B40 dan pasangan berumur 18 hingg 65 tahun serta merupakan penerima bantuan tunai kerajaan yang kini dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Di bawah skim ini penerima yang layak akan mendapat manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari dengan tempoh maksima 14 hari atau RM700 setahun sekiranya mendapat rawatan sama ada di hospital kerajaan, hospital tentera atau hospital universiti.
Selain itu, penerima yang disahkan menghidap 45 jenis penyakit kritikal yang disenaraikan dibawah MySalam juga layak menerima pembayaran berjumlah RM8,000 secara sekali bayar. -TVS.