KUALA LUMPUR, 24 Julai: Sejumlah RM600 juta diperuntukkan untuk membaiki jajaran ‘redline’ (jalan lama) yang akan dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat di Kuching baru – baru ini bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Ahmad, daripada keseluruhan jajaran redline sepanjang 134 kilometer (km) yang dikenal pasti, keputusan dibuat supaya laluan sepanjang 17 km dibaiki segera.
“Manakala di Batu 8 seperti yang sedia maklum, kawasan ini kita akan adakan persimpangan bertingkat.
“Kita sudah menerima peruntukan sekitar RM600 juta (hasil) penjimatan Lebuh Raya Transborneo, jadi ini sudah ada kepastian dan keputusan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin mengetahui status jajaran redline di LPB Sarawak.
Sementara itu Ahmad memaklumkan projek pembinaan LPB di Sarikei bermula dari Jambatan Sungai Awik ke persimpangan Bintangor akan siap pada Ogos ini.
Jelasnya, projek berkenaan mengalami sedikit kelewatan berikutan faktor pengalihan aset utiliti seperti paip.
“Status terkini (projek) siap 96 peratus. Punca utama kelewatan pakej tersebut adalah bagi membolehkan pengalihan utiliti paip air disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan beberapa penambahbaikan kemudahan di LPB Sarawak akan turut dilaksanakan termasuk menyediakan kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Kita akan bina R&R ini mengikut jarak antara satu tempat ke satu tempat.
“Harapan kita bukan hanya (pembinaan oleh) KKR tapi patut libatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana LPB Sarawak tidak ada kutipan tol, oleh kita kalau boleh kita kongsi kos pembinaan,” katanya.
Selain iu kata Ahmad KKR juga bercadang untuk menambah bilangan lampu jalan di LPB Sarawak kerana setakat ini kemudahan itu hanya disediakan di persimpangan utama.
“Banyak lagi kawasan PAN Borneo perlu ada lampu jalan dan kita cadang guna (lampu) solar. Kalau boleh (projek ini dilaksanakan membabitkan kerjasama) Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya. -TVS.