KUALA LUMPUR, 24 Julai: Kerajaan sentiasa waspada dengan kemungkinan wujudnya lambakan produk import ke dalam pasaran tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya telah melakukan penguatkuasaan perdagangan.
Antara langkah yang diambil jelas beliau termasuklah pengenaan duti anti-lambakan, duti timbal balas dan duti pelindung.
“Kerajaan menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dilindungi akibat kesan perdagangan yang tidak adil berikutan kemasukan barangan import yang murah dalam kuantiti yang besar termasuk dari China ke pasaran Malaysia.
“Tindakan remedi perdagangan ini adalah secara bersasar terhadap pengilang atau pengeksport luar negara yang mengakibatkan kemudaratan terhadap industri tempatan termasuk PKS di Malaysia serta skopnya merangkumi kesemua industri tempatan,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan yang ingin tahu tindakan MITI untuk menyokong PKS di Malaysia bagi mengatasi kesan kemasukan perniagaan China.
Tambah Chin Tong, MITI tindakan remedi perdagangan itu selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) serta Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan 1994).
“Melalui perundangan ini, MITI telah menguatkuasa 68 tindakan anti-lambakan dan tiga tindakan pelindung terhadap barangan dimport yang dilambak atau diberi subsidi yang membawa kemudaratan ke atas industri tempatan sejak 1993.
“Antara 2015 hingga 2023, MITI juga menguatkuasa sembilan tindakan anti-lambakan terhadap pengeksport China bagi melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan yang tidak adil,” katanya lagi. -TVS.