KUALA LUMPUR, 24 Julai: Dewan Negara dimaklumkan sebanyak 294 projek pembinaan bangunan sekolah daif di Sarawak telah siap setakat 12 Julai lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sebanyak 49 lagi projek sedang dalam pembinaan dan 93 projek dalam pra pembinaan.
Kata beliau, kementerian telah mengenal pasti sebanyak 555 buah sekolah di Sarawak memiliki bangunan daif.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 361 buah sekolah berskala enam manakala 194 buah sekolah berskala tujuh,” katanya di sini hari ini.
Kah Woh menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit yang ingin tahu statistik sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah daif di Sarawak dan jumlah projek yang dimulakan dan sedang dijalankan ketika ini.
Tambah Kah Woh, Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah mengemukakan permohonan naik taraf dan pembinaan gantian pembangunan daif bagi 19 buah sekolah di Sarawak kepada agensi pusat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rancangan Boleh Pinda Kelima (RP5) Tahun 2025.
Ditanya mengenai projek naik taraf sekolah daif yang kebanyakannya masih berstruktur kayu di Sarawak, beliau memaklumkan ia tertakluk pada keadaan semasa sekolah terbabit.
“Sekiranya bangunan (kayu) itu didapati tidak lagi selamat, adalah tidak ekonomikal untuk diselenggarakan, maka tindakan roboh dan bina bangunan (konkrit) baharu akan dilaksanakan,” katanya lagi.
Berhubung projek naik taraf atau pembinaan gantian bangunan daif di sekolah-sekolah lain, jelas beliau KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak sedang meneliti keperluan sebenar dan mengambil kira tapak sekolah sebelum dipohon secara berfasa kepada agensi berpusat untuk dipertimbangkan dlm RMK12 RP5.
Ini kerana menurutnya kelulusan projek ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan. -TVS