MIRI, 24 Julai: Perkhidmatan bas pintar percuma akan diperkenalkan di Bandaraya Miri pada Oktober tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan kementeriannya bersama syarikat bas di Miri sebagai usaha menukar 14 buah bas lama kepada bas pintar yang baharu.
“Kita akan menukar semua bas lama di Miri. Kita bermula dengan 14 bas akan ditukar. Kita ada berbincang dengan syarikat bas di Miri. Mereka perlu mengeluarkan wang untuk membeli bas dan kita membayar mereka untuk perkhidmatan tersebut.
“Kita memperkenalkan perkhidmatan bas bandar percuma di sini di Miri dan bas yang kita tempah untuk Miri boleh membawa lebih kurang 55 penumpang.
“Bas pintar ini dijangka tiba pada akhir bulan September dan kita berharap kita dapat memperkenalkannya pada bulan Oktober, bas awam percuma dengan perkhidmatan pintar di Miri. Pada masa yang sama, mereka boleh melalui aplikasi mereka untuk melihat bila bas tiba dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Bengkel Pihak Berkepentingan: Pelan Tindakan Pengangkutan Bandar Miri di sebuah hotel terkemuka pada Rabu.
Terdahulu, tambang bas berjumlah RM1, tetapi akan disediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk pelbagai tujuan dari menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, membantu kumpulan B40 dan pelajar pergi ke destinasi mereka dan menarik pelancong untuk bersiar di sekitar Miri.
Bagi mengelakkan bas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, terdapat perancangan untuk menyediakan lorong khas untuk bas dengan menggunakan teknologi yang serupa dari ART, iaitu Sistem Keutamaan Isyarat Trafik (TSP) supaya pergerakannya menepati masa yang dijadualkan. -TVS