KOTA SAMARAHAN, 24 Julai: Nasib malang yang menimpa sebuah keluarga di Kampung Semawang Cina di sini, yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang berlaku pada malam Sabtu lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Beliau menerusi Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan telah menyalurkan bantuan awal bagi meringankan beban mangsa kebakaran.
Bantuan akan disalurkan kepada mangsa setelah mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB)Â Samarahan.
Dalam kejadian berlaku jam 7.30 malam itu, rumah setingkat milik Then Hee yang didiami bersama empat lagi anggota keluarga terbakar keseluruhan.
Ketika kejadian kesemua mangsa tiada di rumah kerana keluar membeli barang keperluan.
Pada masa sekarang, mereka menumpang sementara di rumah keluarga mereka yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa.
Rubiah turut berharap keluarga terbabit tabah dan kuat dalam menghadapi ujian yang berat ini.- TVS