MANILA, 24 Julai: Sekurang-kurangnya lapan orang maut selepas banjir dan tanah runtuh melanda Filipina, lapor agensi bencana kebangsaan pada Rabu.
Agensi Berita Jerman dpa melaporkan empat mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah selatan Mindanao, manakala tiga lagi dilaporkan lemas.
Tiada maklumat terperinci mengenai korban kelapan.
Sementara itu, sekolah dan pejabat kerajaan ditutup di Manila, manakala urus niaga di Bursa Saham Filipina juga dihentikan buat sementara waktu.
Hujan berterusan akibat Taufan Gaemi dan monsun barat daya menyebabkan banjir di beberapa kawasan di ibu negara dan jalan-jalan ditutup kepada lalu lintas.
Taufan Gaemi bergerak pada kelajuan 155 kilometer sejam (km/j) dan angin kencang sehingga 190 km/j, kini menghala ke arah barat laut menuju Taiwan, menurut biro kaji cuaca Filipina. -TVS