JAKARTA, 23 Julai: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Timika meneruskan usaha mencari kapal pengangkutan LCT Cita 20 yang terputus hubungan dalam perjalanan dari Timika ke Yahukimo, Papua.
Kapal yang membawa 12 anak kapal itu berlepas dan sepatutnya tiba pada Sabtu lepas (20 Julai) namun sehingga ke hari ini belum tiba.
Pasukan SAR hari ini meneruskan pencarian kapal tersebut di lokasi yang disyaki menjadi persinggahan kapal itu dengan mengerahkan dua unit kapal dan dua pasukan dibantu Tentera Laut (TNI AL) untuk mengesan kesemua mangsa yang hilang.
Ketua Pejabat SAR Timika, Wayan Suyatna mendedahkan pencarian diperluaskan di kawasan berhampiran dengan titik lokasi terakhir kapal.
“Kapal pencari yang kami kerahkan akan melakukan pencarian di lorong laut tengah berhampiran lokasi terakhir dan di laluan yang dirancang sebelum kapal itu terputus hubungan,” katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa operasi akan dijalankan selama tujuh hari lagi untuk mengesan kapal dan anak kapal yang hilang.
Bukan itu sahaja, pihaknya turut memohon dan memberi notis kepada kapal-kapal yang belayar di wilayah terbabit supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib sekiranya melihat atau menemui tanda-tanda kapal hilang. -TVS