KUCHING, 23 Julai: Enam belas sekolah di seluruh Sarawak memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang sangat memberangsangkan dengan merekodkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) melepasi 3.00.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad berkata sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, Sibu, SMK Chung Hua, Sibu, SMK Saribas, Betong, SMK Bako, Kuching, SMK Merbau, Miri, SMK Kampung Nangka, Sibu dan SMK Sungai Merah, Sibu.
Turut tersenarai, SMK Bandar Sibu, SMK Methodist Sibu, SMK St Anthony, Sarikei, SMK Green Road, Kuching, SMK Asajaya, Samarahan, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abd Wahab, Padawan, SMK Rosli Dhoby, Sibu, SMK Durin, Sibu dan SMK Batu Lintang, Kuching.
“Selain itu, sebanyak 33 sekolah daripada keseluruhan 79 sekolah mempamerkan peningkatan pada PNGK kali ini,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 di Pejabat Pendidikan Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, lapan daripada 21 mata pelajaran yang diambil oleh calon sekolah di Sarawak mencatatkan kenaikan peratus kelulusan penuh pada 2023 berbanding 2022.
Sementara itu, mata pelajaran Perakaunan mengekalkan peratusan kelulusan 100 peratus.
Peratus kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Cina ialah 98.18 peratus, Bahasa Arab (48.28), Kesusasteraan Melayu Komunikatif (86.84), Ekonomi (76.86) dan Matematik (76.67), Biologi (91.35), Sains Sukan (98.19) dan Seni Visual (98.99).
Seramai 5,601 calon dari Sarawak atau 98.49 peratus lulus penuh dalam STPM 2023. – TVS