KUCHING, 23 Julai: Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) menagih sentuhan bekas jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Amir Abu Bakar yang pada ketika ini mengendalikan skuad Sarawak bagi meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam acara itu.
Amir, 61, yang dilantik mengemudi pasukan sepak takraw lelaki Sarawak pada hujung tahun lalu giat membentuk kredibiliti pemain untuk memberikan saingan dalam kejohanan berprestij negara itu kelak.
Beliau yang ditemui berkata, skuadnya berkelana ke negara Thailand bulan ini bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang temasya yang akan bermula kurang 30 hari lagi.
“Bagi saya pemain Sarawak ada kebolehan, tetapi mereka tidak dapat pendedahan sebaik-baiknya sebelum ini, jadi kita telah ke semenanjung untuk berlatih di sana dan kini ke Bangkok untuk memberikan lebih pendedahan kepada para pemain sekali gus membantu kita untuk mencapai sasaran.
“Saya rasa sekurang-kurangnya kita akan capai kedudukan empat terbaik dalam acara berpasukan dan regu, manakala bagi double dan kuadran kita akan cuba sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui TVS di Stadium Perpaduan di sini, baru-baru ini.
Menurut Amir, latihan di Bangkok bersama kelab Ratchaburi selama 10 hari dan saya yakin ia membantu dari aspek meningkatkan teknik dan teknikal permainan dalam kalangan pemain bagi menghadapi temasya dwitahunan itu nanti.
Mengulas mengenai negeri pencabar pada temasya itu nanti, Amir berkata Terengganu, Pulau Pinang, Kuala lumpur dan Kelantan menjadi halangan terbesar skuadnya susulan dominasi keempat-empat negeri itu dalam sukan sepak takraw dari peringkat akar umbi hingga senior.
“Meskipun pasukan ini baru dibentuk, saya yakin dengan para pemain yang kita ada kerana kita memiliki kelebihan dari sudut bakat, cuma pengalaman sahaja yang perlu ditambah.
“Saya percaya latihan di beberapa negeri di semenanjung tempoh hari dan Bangkok akan membantu skuad ini untuk memberikan cabaran dan saingan kepada mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, Sarawak tidak pernah meraih pingat dalam acara sepak takraw lelaki sejak ia mula dipertandingkan pada SUKMA yang pertama pada 1986 di Kuala Lumpur.
Acara sepak takraw lelaki dan wanita akan dilangsungkan di Bintulu dengan lapan pingat emas menjadi rebutan 15 kontinjen pada temasya yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan. – TVS