BINTULU, 23 Julai: Lebih 10,000 membanjiri Lapangan Terbang Lama Bintulu untuk menyambut Hari Sarawak 2024, semalam.
Orang ramai kelihatan mula berpusu-pusu ke tapak sambutan seawal jam 6 petang.
Sambutan pada malam tadi diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak dan tetamu kehormat lain.
Simbolik perasmian sambutan telah disempurnakan oleh Tun Dr Wan Junaidi.
Sejurus itu persembahan khas teater muzikal daripada Pantomin Muzikal Sarawak Maju Makmur yang menampilkan para pelakon seperti Azam Pitt dan Anding Indrawani.
Para penonton turut dihiburkan oleh artis tempatan yang lain seperti Dayang Nurfaizah, Bob Yusof, Melissa Francis, Roxy Ixzy, Sulaiman Usop, Daus Eli, dan Chien Ng. – TVS