KUALA LUMPUR, 23 Julai: Moratorium penawaran kursus pengajian baharu kejururawatan peringkat diploma di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) akan tamat pada 1 Ogos depan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri susulan beberapa siri perbincangan melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 5 Julai 2024.
Penamatan itu menurutnya dilaksanakan bagi memberi laluan kepada peningkatan permintaan terhadap kursus pengajian kejururawatan yang dipengaruhi beberapa faktor.
“Pertama, penamatan moratorium dipengaruhi oleh penurunan jumlah IPTS aktif menawarkan kursus pengajian kejururawatan di peringkat diploma.
“Kedua, penurunan jumlah pendaftaran jururawat berdaftar dalam kalangan graduan lepasan diploma kejururawatan IPTS.
“Ketiga, negara bakal memiliki kekurangan jururawat berdaftar bagi keperluan kesihatan dan keperluan populasi menjelang 2030 sekiranya trend pengambilan pelajar diploma kejururawatan di IPTS dan bilangan pendaftaran jururawat berdaftar kekal menunjukkan penurunan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu strategi KPT dalam menangani masalah kekurangan jururawat yang kronik serta sama ada akan membenarkan lebih banyak IPTS untuk menawarkan kursus kejururawatan.
Mengulas lanjut Mustapha berkata, perincian pelaksanaan penamatan moratorium penawaran kursus pengajian baharu kejururawatan peringkat diploma itu akan dimaklumkan melalui satu surat pekeliling yang akan dikeluarkan oleh KPT kepada semua IPTS dalam masa terdekat.
Untuk rekod, terdapat 46 buah IPTS di seluruh Malaysia yang menawarkan kursus kejururawatan. – TVS