KUALA LUMPUR, 23 Julai: Malaysia konsisten dengan pendiriannya yang menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa, memelihara hak asasi manusia dan mencari penyelesaian konflik melalui usaha diplomatik tanpa kekerasan.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia bersama negara- negara anggota ASEAN telah membuktikan kejayaan dalam mengekalkan keamanan sejak penubuhannya pada 1967.
Tambah beliau, Malaysia juga berpegang teguh kepada prinsip penglibatan bersama, permuafakatan, dan kerjasama, serta menolak sikap pemencilan dan tindakan sebelah pihak.
“Peranan Malaysia yang penting ini dapat dilihat dalam beberapa peranan yang diberikan. Sebagai contoh negara kita diminta menjadi fasilitator Proses Damai Mindanao (PDM) di Selatan Filipina dan fasilitator dalam Proses Dialog Damai (PDD) di Selatan Thailand.
“Selain itu, Malaysia juga memberi tumpuan utama kepada penyelesaian konflik dan krisis kemanusiaan di Myanmar,” katanya pada Sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali yang meminta Menteri Luar menyatakan pendekatan utama yang dilakukan kerajaan dalam konteks strategi luar negara untuk mempromosikan perdamaian dan keamanan di rantau ini.
Amir juga ingin tahun kejayaan Malaysia susulan pendekatan yang diambil.
Sementara itu Mohamad berkata, beberapa mekanisme dan inisiatif telah dilaksanakan bersama negara anggota ASEAN lain untuk mempromosikan perdamaian dan keamanan di rantau ini.
“Antara pendekatan utama yang dilakukan ialah Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara, iaitu kod tatalaku utama dalam mentadbir hubungan antara negara-negara di rantau ini.
“(Ini termasuk) menubuhkan Institut ASEAN Mengenai Keamanan dan Perdamaian untuk menjalankan penyelidikan mengenai keamanan, pengurusan konflik, dan penyelesaian konflik serta mengadakan dialog ASEAN melibatkan kuasa-kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan Rusia,” katanya.
Tambah Mohamad, Malaysia dan ASEAN terus komited dalam usaha memelihara keamanan dan kestabilan serantau melalui kerjasama politik, ekonomi, dan sosial, serta penyelesaian konflik secara aman, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran rantau Asia Tenggara. – TVS