Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Seri Fadillah Yusof pada Sambutan Hari Sarawak di Bintulu, malam ini. Foto JaPen

Tuntut hak Sarawak bukan bermakna ketepikan kepentingan negara

ByDouglas Elliot

KUCHING, 22 Julai: Usaha berterusan Sarawak menuntut hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah bererti Sarawak tidak prihatin terhadap kepentingan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hak-hak dan keistimewaan ini bukanlah tuntutan baharu tetapi perkara-perkara yang dipersetujui oleh pemimpin kemerdekaan terdahulu pada 1963.

“Semua pihak harus menghormati perjanjian ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan-Laporan Antara Kerajaan (IGC Report).

“Janganlah lagi timbul keadaan seperti yang dinyatakan oleh mendiang Tun Jugah, ‘Anang baka tebu, manis di pun tabar di ujung’ atau ‘Jangan seperti tebu, manis di pangkal, tawar di hujung’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2024 di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam ini.

Sambutan berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Premier, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Jelas beliau, kerajaan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Kerajaan Perpaduan kerana akur bahawa Malaysia berkehendakkan sebuah kerajaan yang stabil bagi pelbagai cabaran masa hadapan.

“Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan barisan Kabinet beliau kerana prihatin terhadap usaha untuk menghormati perjanjian antara para pemimpin terdahulu ketika penubuhan Malaysia.

“Dengan pengembalian hak-hak ini, saya amat yakin Sarawak boleh menjadi kuasa ekonomi baharu di negara ini dan juga di rantau Asia,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan