BINTULU, 22 Julai: Sarawak tidak melepaskan hak-haknya apabila menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Persekutuan Malaysia, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, semua hak Sarawak seperti yang terkandung dalam lunas undang-undang Sarawak sebelum Malaysia akan kekal berkuat kuasa jika tidak dipinda di Parlimen dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Sebagai contoh, arahan yang dibuat oleh Ratu Elizabeth atau Order in Council pada tahun 1954 berkenaan persempadanan Sarawak menyatakan bahawa sempadan laut Sarawak dipanjangkan sehingga ke pelantar benua termasuk dasar laut dan di bawah dasar laut.
“Inilah antara hak-hak yang dibawa oleh Sarawak ketika bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura pada 16 September 1963 yang tidak boleh diserahkan kepada pihak lain. Ini adalah antara perkara yang tidak boleh dirunding seperti yang saya tekankan sebelum ini,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan turut mengiktiraf bahawa wilayah bagi setiap negeri di Malaysia adalah seperti sebelum Hari Malaysia iaitu 16 September 1963.
Mana-mana undang-undang yang digubal yang mengubah sempadan negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri tersebut.
Katanya, ini mengukuhkan lagi pendirian kita mengenai hal-hal berkaitan sempadan ini adalah sesuatu yang tidak terbuka untuk dirunding.
“Contoh kedua ialah berkenaan Kanun Tanah Sarawak, berkuatkuasa pada 1958 yang memberi Sarawak kuasa penuh untuk menguruskan apa-apa yang berada di bumi Sarawak yang merangkumi sumber-sumber di pelantar benua, didasar laut dan di bawah dasar laut termasuk aktiviti penyimpanan karbon atau CCUS,” ujarnya lagi.
Sementara itu, hak perundangan mengenai tanah turut termaktub di bawah kuasa negeri melalui Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jelasnya sehingga kini Kanun Tanah Negara tidak terpakai di Sarawak kerana Sarawak sudah mempunyai undang-undang tanah sedia ada dan terus terpakai selepas penubuhan Malaysia. – TVS