BINTULU, 22 Julai: Kerajaan Sarawak akan melabur RM6 bilion dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak menerusi projek loji amonia dan urea berkarbon rendah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedua-dua projek tersebut memerlukan pelaburan sebagai pemangkin agenda pembangunan ekonomi hijau Sarawak.
Menurutnya selain pembekalan gas asli sedia ada, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) turut membekalkan tambahan 160 juta kaki padu gas sehari (MMscfd) kepada Sarawak Petchem untuk melaksanakan projek loji berkenaan.
“Selepas ini Sarawak Petchem akan membina loji amonia dan pelaburannya agak besar lebih kurang antara RM5 ke RM6 bilion. PETROS kini adalah agregator gas justeru ia membekalkan 160 MMSCFD gas untuk Sarawak Petchem mengeluarkan amonia.
“Amonia ini akan mengeluarkan urea jadi maknanya ada pengeluaran baja kita sendiri dan amonia sangat dikehendaki dalam industri perkapalan dan urea pula akan kita gunakan untuk proses baja dan ia ada hubung kait dengan sektor makanan khususnya keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Kompleks Metanol Sarawak di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari mendedahkan Sarawak Petchem kini juga sedang meneroka peluang lain sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempelbagaikan portfolio dan menjadikan penggunaan tenaga hijau menjadi kenyataan.
Di samping itu, Sarawak turut mempromosikan penyelesaian karbon rendah yang menunjukkan komitmennya mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau bernilai tinggi seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Malah katanya Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab tenaga hijau serantau dengan pelbagai projek berbilion ringgit di Bintulu yang akan memacu aktiviti ekonomi sekali gus membuka lebih banyak usaha niaga yang menguntungkan. – TVS