BINTULU, 22 Julai: Sarawak terus menerajui pembangunan tenaga boleh diperbaharui untuk menggerakkan sektor sosioekonomi seiring dengan isu pemanasan global.
Sehubungan itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kemajuan inovatif Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan potensinya untuk mengubah landskap ekonomi negeri.
“Disebabkan isu pemanasan global dan seiring dengan deklarasi Perjanjian Paris, dunia menyedari kepentingan untuk beralih ke tenaga hijau yang merupakan kelebihan Sarawak berdasarkan kekayaan dan potensi sumber Sarawak yang diktiraf oleh negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Perniagaan Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di sini, hari ini.
Abang Johari turut mengakui cabaran yang dihadapi dunia hari ini, termasuk perubahan iklim dan keselamatan makanan.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan perancangan kerajaan untuk membina loji turbin gas di Bintulu menjelang tahun 2027, yang akan meningkatkan 500 megawatt kuasa tambahan.
Menjelang 2029, katanya, ia mampu meningkat kepada 1,000 megawatt, menjadikan jumlah tambahan kuasa sebanyak 1,500 megawatt.
“Teknologi terbaru seperti proses methylcyclohexane membolehkan hidrogen digunakan secara langsung di loji kuasa untuk menghasilkan tenaga,” katanya.
Pagi ini, beliau merasmikan pelancaran Kompleks Metanol Sarawak dan turut mencadangkan penghasilan tenaga menggunakan gelombang laut yang dikenali sebagai tenaga kinetik.
“Jika berjaya, kita boleh menjadi yang pertama di Asia dalam bidang ini. Dengan tarif tenaga yang kompetitif, ia akan menarik pelabur dan menjadikan Sarawak mempunyai dasar ekonomi yang baik menjelang 2030,” katanya. – TVS