BINTULU, 22 Julai: Reka bentuk akhir lokomotif Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan beroperasi di Kuching dan Bintulu menampilkan rekaan moden yang menggambarkan aspirasi rakyat Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata reka bentuk berkenaan akan menghiasi ART yang akan menjadi sistem pengangkutan awam moden di Kuching dan Bintulu.
“Beberapa reka bentuk telah dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Sarawak Metro.
“Namun, hanya satu sahaja yang dipilih untuk menggambarkan aspirasi dan keperkasaan Sarawak,” katanya semasa mendedahkan rekaan baharu tersebut pada sambutan Hari Sarawak 2024 di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam ini.
Ujarnya, lokomotif ART tersebut sedang dibuat di China dan ART pertama dijangka tiba di Kuching pada penghujung tahun ini.
Jelas Abang Johari, sistem pengangkutan ART yang menggunakan hidrogen ini akan mentransformasikan sistem pengangkutan awam di Sarawak dengan pelaksanaan projek Kuching Urban Transportation System (KUTS).
“Pada ketika ini, Sarawak Metro sedang gigih melaksanakan kerja-kerja untuk menyediakan landasan khas, stesen perhentian dan depo untuk ART tersebut bagi Kuching dan Kota Samarahan,” katanya. – TVS