BINTULU, 22 Julai: Penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak disifatkan sebagai aset penting dalam melengkapkan sistem ekonomi negeri.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Tan Sri Paul Koon Poh Keong berkata Pelabuhan Bintulu Port akan memainkan peranan besar dalam industri minyak dan gas, aktiviti arus perdana dan hilirannya.
“(Pelabuhan Bintulu juga berperanan penting dalam) penggunaan dan penyimpanan penangkapan karbon dan pengeluaran hidrogen serta biofuel lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Perniagaan Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui bersama Premier Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, Bintulu berpotensi besar untuk membangun serta berkembang dan dengan usaha kolektif bersama, malah beliau optimis potensi itu dapat direalisasikan.
“SCCI telah berkhidmat kepada masyarakat di Sarawak selama tujuh dekad dan akan terus bekerja keras untuk membawa lebih banyak nilai tambah untuk beberapa tahun mendatang di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.
Seramai 1,200 ahli perniagaan SCCi menyertai sesi dialog tersebut.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Phang serta Presiden SCCI Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg. – TVS