BINTULU, 22 Julai: Kompleks Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong mengguna pakai teknologi baharu yang sejajar dengan piawaian global bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Pengerusi Sarawak Petchem Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata kompleks ini mempamerkan penggunaan teknologi inovatif seperti pengenalan konsep pembinaan modular berskala besar dan teknologi ‘jetty wave screen’ yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Kompleks ini merupakan antara yang terbesar dalam rantau ini yang mampu menghasilkan 1.75 juta tan metrik metanol setahun dan merupakan antara pelaburan terbesar dalam Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Metanol Sarawak di sini, hari ini.
Perasmian itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Projek ini juga merupakan pemangkin kepada lebih banyak pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, memupuk pertumbuhan mampan dan meletakkan Sarawak secara strategik sebagai sebuah pemain utama dalam industri petrokimia global.
“Penubuhan Sarawak Petchem juga telah menyediakan platform untuk Sarawak membangun dan menarik tenaga kerja mahir untuk datang dan bekerja di Sarawak.
“Malah, sebahagian rakyat Sarawak telah kembali bekerja dengan Sarawak Petchem untuk menyiapkan projek ini,” ujarnya. – TVS