BINTULU, 22 Julai: Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan nikmat pembangunan dapat dirasai penduduk di seluruh negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ini selaras dengan elemen inklusiviti yang terkandung dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
“Rakyat di negeri ini, termasuklah yang berada di kawasan luar bandar perlu menikmati segala kemudahan yang dilaksanakan dan diterima oleh warga bandar, terutama dari segi pembangunan sosio ekonomi hasil daripada perolehan pendapatan negeri yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Bersama Pemimpin Masyarakat Bahagian Bintulu di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 90 orang Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat di sekitar Bintulu itu, dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut Rundi lagi, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri akan memastikan segala hasil yang diperoleh bukan hanya memajukan negeri ini, malah akan menyumbang kepada pembangunan negara.
Rundi turut menyeru rakyat berpegang dengan pesanan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, selain mengukuhkan perpaduan.
Menurutnya, dua elemen tersebut akan memangkin kemajuan Sarawak.