KUCHING, 22 Julai: Tumpuan Kerajaan Sarawak sekarang adalah untuk memastikan pendapatan isi rumah dapat dipertingkatkan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, ini adalah sejajar dengan pengiktirafan Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia pada tahun 2023 dan 2024.
“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah, sedang dan akan dilaksanakan sejajar dengan strategi pembangunan seperti yang termaktub dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Di antaranya adalah untuk memberi fokus kepada pendidikan dan kemahiran. Ini adalah sejajar dengan dasar kita untuk membangunkan sumber manusia menerusi pembangunan bakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman ucapan sempena sambutan Hari Sarawak yang diterbitkan Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Awang Tengah turut menyeru agar warga Sarawak terus bersama dengan kerajaan pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memastikan Sarawak akan terus melangkah maju ke hadapan.
Beliau menegaskan, pembangunan sumber manusia amat mustahak ketika wilayah ini sedang memberi fokus terhadap pembangunan ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi sekular serta ekonomi berlandaskan teknologi tinggi.
“Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran untuk menjayakan visi dan misi kerajaan untuk membangunkan Sarawak dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Semoga Sarawak terus kekal maju, aman, damai dan rakyat hidup dalam harmoni dan sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, Sambutan Perayaan Hari Sarawak yang bertemakan “Sarawak Maju Makmur” pada tahun ini diadakan di Bintulu pada malam ini yang akan disiarkan TVS secara langsung.
Sambutan di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.